“SEKUMPULAN WANITA BERSKIRT MINI BERHIMPUN DI JAKARTA”,
“PAKAI SKIRT BANTAH GABENOR”
Bila baca tajuk berita sedemikian, imej apa yang terus terbayang di fikiran pembaca? Mungkinkah: “Whoo, perempuan seksi!” Atau: “Teruk betul wanita yang berdemo itu kerana pakai mini skirt.” Mungkin: “Inilah bila wanita kebaratan sangat…!”
Tetapi, berapa ramai agaknya yang merasa mahu tahu isu apakah yang membuatkan wanita-wanita itu berdemonstrasi?
Berita mengenai wanita berdemonstrasi di Jakarta baru-baru ini tersiar di akhbar-akhbar perdana di Malaysia. Mereka memprotes kenyataan gabenor Jakarta yang menyalahkan cara perempuan berpakaian sebagai punca mereka dirogol.
Mangsa yang diperkosa adalah seorang mahasiswi yang masih berpakaian seragam dalam perjalanan pulang dari kampus. Gabenor terus menuduh punca wanita diperkosa di dalam bas pengangkutan awam adalah kerana wanita memakai skirt pendek. Apakah kenyataan itu benar dan patut?
Justeru, para wanita berdemo dengan memakai pelbagai jenis pakaian untuk menunjukkan bahawa pakaian bukanlah menjadi penyebab wanita diperkosa.
Demonstrasi di Jakarta (photo courtesy of Kiki Febriyanti)
Masyarakat memangsakan mangsa
Antara faktor pemerkosaan adalah kerana penjenayah merasa mempunyai kuasa untuk melakukan kekerasan ke atas orang yang lebih lemah dari dirinya.
Hakikatnya, bayi, kanak-kanak kecil, nenek-nenek dan wanita yang bertudung labuh pun ada yang dirogol.
Malaysia masih ingat kes Nurul Huda Abd Ghani, murid Tahun 4 yang dirogol oleh tiga lelaki di pondok pengawal TNB di Johor Bharu. Juga kes Noor Suzaily Mokhtar, jurutera komputer yang dirogol dan dibunuh dengan kejam oleh pemandu bas. Noor Suzaily tidak memakai skirt pendek semasa beliau menaiki bas tersebut. Beliau bertudung kepala.
Apa yang sering berlaku, reaksi spontan ramai orang adalah untuk terus menyalahkan si mangsa. “Mesti kerana dia berpakaian yang menjolok mata”, atau “Gaya dia membuatkan lelaki tergoda”.
Jangan terperanjat jika reaksi sebegini turut datang dari orang-orang yang berpendidikan tinggi, termasuk yang dikatakan tinggi ilmu agamanya.
Bila rogol dianggap halal dalam Islam
Seorang pemimpin parti politik bergelar ulama berkata wanita yang tidak menutup aurat memang layak dirogol. Ceramah beliau tersiar di YouTube, ditonton lebih dari satu juta kali.
Baru-baru ini juga seorang pemimpin tertinggi di Acheh Barat juga mengeluarkan kenyataan yang serupa, iaitu wanita yang tidak berpakaian menurut Shariah layak diperkosa.
Fauzi Bowo Canisius, gabenor Jakarta (Wiki commons)
Mesej apakah yang diberi oleh tokoh-tokoh Islam ini? Ajaran Islam apakah yang disampaikan? Apakah pelaksanaan negara Islam mereka lebih kepada untuk menghukum? Adakah menurut kefahaman mereka, merogol wanita yang tidak menutup aurat itu hukumnya halal?
Dalil apa yang mereka pakai? Apakah ada ayat al-Qur’an yang mengatakan hukum perempuan tidak berpakaian sopan adalah dirogol? Apakah Rasulullah pernah mengeluarkan hadith yang sekejam itu?
Bercakap atas nama agama
Ini yang menjadi ironisnya. Orang Islam marah benar bila orang Barat atau bukan Islam menuduh agama Islam sebagai mengamalkan diskriminasi, keras dan tidak berperikemanusiaan. Akan tetapi, orang Islam seperti mereka jugalah yang mengatakan perempuan memang layak diperkosa jika pakaiannya tidak sopan.
Mereka bercakap atas nama agama. Walaupun mereka mempunyai ilmu tentang Islam, namun mereka tetap merupakan manusia yang pemahamannya tentang agama dan kemanusiaan masih terbatas mengikut kadar pemahaman, tafsiran dan pengalaman mereka sendiri. Lantas, ternodalah nama Islam akibat pemikiran sempit dan sikap sadis mereka.
Teramat jarang sekali saya dengar tokoh agama di Malaysia yang kritikal tentang punca masalah keganasan seksual dan menawarkan pemikiran yang membina dalam usaha membanteras jenayah rogol. Usaha penyelesaian memerlukan pemikiran yang berupaya mengharmonikan objektif Shariah dengan konteks masyarakat moden.
Di Indonesia, saya berkesempatan bertemu beberapa tokoh Islam yang menawarkan cara pandang baru untuk masyarakat Islam di Malaysia.
Konsep dan objektif mahram
Ibu Nyai Masriyah Amva adalah seorang ulama wanita yang memimpin sebuah madrasah di Cirebon, Indonesia. Di dalam sebuah buku karangannya, beliau menceritakan pengalaman semasa di tanah suci Mekah dan Madinah.
Bagi wanita yang berasal dari negara yang secara amnya menyediakan ruang kebebasan untuk wanita bergerak ke mana saja, beliau hairan bagaimana wanita seperti beliau yang berada di kota-kota suci Islam malah lebih terdedah pada gangguan lelaki. Betapa kota yang menempatkan rumah Allah sangat tidak ramah pada perempuan.
Ibu Nyai Masriyah Amva (Sumber: kebonjambu.org)
Beliau justeru sedar bahawa perempuan adalah korban dari budaya dan undang-undang yang membunuh kekuatan-kekuatan wanita, yang membuatkan wanita terpaksa bergantung pada lelaki untuk jaminan keselamatan dirinya. Beliau lalu menyeru kerajaan Arab Saudi untuk menyediakan suasana yang aman dan kondusif agar wanita dapat bergerak bebas dan beribadah pada Tuhannya tanpa perlu bimbang dari gangguan lelaki.
Kiyai Husein Muhamad, seorang ulama tradisional di Indonesia yang berkelulusan dari universiti Al-Azhar, Mesir, memahami keadaan sukar yang dialami para wanita termasuk Ibu Nyai Masriyah.
Beliau lalu menjelaskan bahawa pada zaman Nabi yang masyarakatnya mengamalkan hidup nomad serta keadaan tanah Arab yang berpadang pasir, dengan kedudukan bandarnya yang berpuluh-puluh atau beratus-ratus batu jauhnya, memang boleh difahami mengapa wanita perlu ditemani mahram, yang biasanya adalah orang lelaki. Tujuannya agar keselamatan wanita terjaga dari anasir buruk seperti dirompak, diculik, diperkosa atau dibunuh.
Akan tetapi, di dalam sistem negara moden seperti Malaysia dan Indonesia, beliau berpendapat bahawa negaralah yang seharusnya berperanan sebagai mahram dalam memastikan keselamatan semua rakyatnya terjamin.
Ia boleh dilaksanakan dengan menyediakan sistem yang baik dan efisien. Ini termasuklah menyediakan lampu-lampu bagi memastikan jalan terang, sistem pengangkutan yang cekap yang mana kesemua kakitangan dan pemandu bas hendaklah berdaftar dan tiada rekod jenayah.
Negara yang berperanan sebagai mahram juga termasuk pasukan polis yang cekap dan mesra rakyat, dan sistem perundangan yang cekap dan tegas dalam menghukum pelaku jenayah. Penting juga dari segi pendidikan ialah memberi ilmu mempertahankan diri, menerapkan dalam sistem pendidikan agar manusia saling menghormati antara satu sama lain walaupun mereka berbeza dari pelbagai segi, termasuklah agar lelaki menghormati orang perempuan, dan sebagainya.
Menggunakan akal dalam agama
Ramai ulama mendakwa dalam Islam tidak boleh menggunakan akal fikiran, harus berdasarkan keimanan. Pada saya, kenyataan sedemikian bertentangan dengan wahyu Allah yang pertama, iaitu “Bacalah”. Tentu saja membaca memerlukan akal fikiran yang tajam bagi memproses informasi yang dibaca dengan menghubungkannya dengan alam dan hidup kita.
Dalam hal ini misalnya, apakah beriman atau meyakini itu adalah dengan meyakini apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin Islam yang mengatakan perempuan boleh dirogol? Bukankah pandangan mereka juga hasil dari menggunakan akal fikiran mereka?
Jika kita benar-benar meyakini Islam adalah agama yang baik, adil, penyayang dan mencintai keamanan, maka umat Islam harus mengelak dari mengambil sikap menyalahkan, tetapi menggunakan akal fikiran dalam mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat kita di zaman ini.
Diperoleh daripada: http://www.thenutgraph.com/bila-rogol-dikatakan-halal/#comment-22587
Butiran penulis;
NORHAYATI Kaprawi adalah seorang aktivis wanita dan juga pembuat filem. Filem dokumentarinya Mencari Kartika dan Aku Siapa menimbulkan perbincangan yang rancak dan menjadi bahan mengajar di banyak universiti di dalam dan luar negara.
20110928
20110925
Pesanan Imam Al_Ghazali
Dipetik daripada: http://tazkirah-umum.blogspot.com/2006/04/pesanan-imam-al-ghazali.html
Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghazali bertanya...
1 - Pertama, "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?".
Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati".
Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." ( Surah Ali Imran 185 )
2 - Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. " Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?"
Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "masa lalu".
Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.
3 - Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia ini?"
Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "nafsu".
Justeru nafsu yang menguasai diri , menyebabkan manusia gagal menggunakan aqal , mata , telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah swt. untuk hidup berlandaskan kebenaran . Fenomena ini menyebabkan mereka terjerumus ke dalam Api neraka Jahanam .
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." ( Surah Al A'araaf 179 )
Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka .
4 - Pertanyaan keempat adalah, " Apa yang paling berat di dunia ini?"
Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah "memegang amanah"
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." ( Surah Al Ahzaab 72 )
Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak bisa memegang amanahnya.
5 - Pertanyaan yang kelima adalah, " Apa yang paling ringan di dunia ini?".
Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan solat. Gara-gara pekerjaan, kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.
6 - Lantas pertanyaan ke enam adalah, " Apakah yang paling tajam di dunia ini?".
Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang... Benar kata Imam Ghozali, tapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Kerana melalui lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.