Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Allah SWT menjadikan siang dan malam
sebagai putaran alam berganti-ganti bagi membolehkan manusia mengatur hidup.
Waktu siang membuka peluang untuk manusia melakukan tugasan seharian mencari
rezeki dan memenuhi keperluan lain. Manakala waktu malam adalah peluang untuk
beristirehat.
Individu tidak bertanggungjawab telah menjadikan malam
sebagai masa mencari mangsa dan memuaskan kehendak nafsu. Tengah malam di bandar
besar tidak ubah seperti siang hari dengan dicahayai sinaran lampu dan manusia
masih berpusu-pusu dengan tujuan masing-masing.
Untuk memenuhi permintaan
ramai orang beraktiviti waktu malam, terdapat kedai serbaneka, restoran, kedai
runcit, stesen minyak dan sebagainya yang beroperasi 24 jam. Ini menggalakkan
lagi orang menjadikan waktu malam untuk bersantai dan menjalankan aktiviti yang
hanya mereka saja faham sebabnya.
Bagi mereka yang terpaksa mencari
rezeki atau bertugas pada waktu malam seperti anggota keselamatan, Jururawat,
bekerja majlis bandaran dan pengawal keselamatan, berjaga malam memang menjadi
kewajipan. Mereka melakukan tugas demi untuk keselamatan, keselesaan dan
kesejahteraan umum.
Tidak elok
berjaga
Sebaliknya yang dimusykilkan ialah apakah perlunya
kita bersantai dan berembun sehingga lewat malam tanpa sebarang alasan. Bukan
sedikit yang keluar rumah apabila waktu sudah melewati tengah malam semata-mata
untuk menikmati secaran teh tarik atau roti canai. Ðah tu pula, ada yang
mengambil masa yang panjang sehingga pukul tiga atau empat pagi baru
pulang.
Amalan ini perlu diubah. Tidak elok berjaga malam kerana banyak
kesan buruknya. Individu keluar malam dan balik lewat malam bererti tidak
menghargai waktu malam yang disediakan oleh Allah SWT untuk kita berehat di
rumah.
Waktu malam juga sebenarnya adalah masa terbaik untuk
menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan melakukan ibadat sembahyang, membaca
al-Quran dan berzikir. Sembahyang sunat pada waktu malam dilakukan oleh mereka
yang ingin meningkatkan lagi ketakwaan.
Sesiapa yang tidur dengan niat
merehatkan badan bagi membolehkan meneruskan tanggungjawab sebagai hamba-Nya
pada hari esok juga dikira membuat kebajikan.
Lebih banyak buruknya
Tidur
awal dan mendapat rehat yang cukup membolehkan kita bangun awal dan bekerja
dengan produktif pada sebelah siangnya. Allah suka kepada orang yang bekerja
dengan gigih untuk mendapat rezeki yang halal.
Aktiviti lewat malam
banyak melibatkan perkara buruk. Pusat hiburan, perjudian, pelacuran, kongsi
gelap, menyamun, zina, rogol, penagihan dadah, minum arak dan lumba haram banyak
berlaku pada waktu lewat malam.
Ibu bapa harus mengawal anak-anak
daripada pulang lewat malam. Tidak ada alasan untuk pelajar dan remaja keluar
sehingga lewat malam. Yakinlah, jika anak anda suka pulang lewat malam, pasti
ada aktiviti tidak baik yang dilakukannya. Anak yang baik menghargai waktu malam
untuk bersama-sama ahli keluarga yang lain.
Ðalam hal ini, amat perlu ibu
bapa sendiri yang terlebih dahulu mempraktikkan amalan pulang awal. Ibu bapa
yang bertanggungjawab menjadi contoh kepada anak-anak. Keluarga bahagia
menjadikan waktu malam untuk berkumpul bersama-sama di rumah.
Hargai waktu
Pada waktu malam adalah
peluang terbaik untuk seluruh seisi keluarga bermesra, melakukan aktiviti
bersama dan berbincang. Kita sepatutnya mengamalkan kembali tradisi orang tua
kita dahulu, setiap orang perlu pulang dan berada di rumah sebelum waktu
Maghrib.
Bapa mempunyai tanggungjawab berat membimbing ahli keluarga
mengikut jalan yang diredha oleh Allah SWT. Tanggungjawab memimpin keluarga
perlu dilaksanakan sebaik-baiknya.
Kebiasaan sikap ibu bapa yang suka
keluar malam turut diikuti anak-anak. Anak juga merasakan ingin mencari
keseronokan di luar rumah pada waktu malam. Suasana gelap dan sunyi memudahkan
untuk melakukan perbuatan tidak senonoh dan menyalahi undang-undang.
Sesetengah ibu bapa keluar malam untuk mencari pendapatan tambahan, sedangkan
selebihnya sekadar untuk bersuka ria. Perbuatan ini banyak dilakukan oleh bapa.
Bapa yang keluar rumah tanpa keperluan munasabah membuktikan dirinya bapa dan
suami yang tidak bertanggungjawab.
Kempen rumahku syurgaku perlu diberi
perhatian serius oleh semua pihak. Keluarga adalah lambang kebahagiaan hidup.
Hargailah waktu malam yang damai dan aman untuk beristirehat atau jika
berkeupayaan, jadikan sebagai waktu untuk beribadat. Adalah lebih selamat dan
aman pada waktu malam kita berada di rumah.
Waktu malam di luar rumah
sebenarnya seram, ganas, melalaikan dan maksiat. Berada di luar rumah pada waktu
larut malam mendedahkan kita kepada kejadian buruk.
Renung-renungkan....