20150723
20150722
Bila Isteri Mengamuk
Copypaste
Bila Isteri “Mengamuk”
Kekadang isteri mengamuk
Dengan ombak prasangka dan lautan cemburu
Apa bukti setiamu suami?
Atau apakah kau sedang berkira-kira
hendak “mendua”, “mentiga” dan “mengempatkan”ku?
Kekadang disergahnya suami
Ketika keringat masih membasah
Baru melangkah masuk pintu rumah
Ketika itu muhasabahlah diri
Mungkin suami berdosa dengan Tuhan,
atau bersalah dengan insan
Mungkin banyak penzaliman dan penganiayaan yang telah dilakukan
Lalu datang “serangan” itu sebagai peringatan
Suami,
Hadapkanlah diri ke cermin hati
Kaji dirimu satu persatu
Kalau liar, berhentilah
Kalau berdosa, bertaubatlah.
Jangan berkira-kira hendak “berdua”
kalau yang satu itu pun tak mampu dijaga
Jangan kemampuan harta dan fizikal sahaja diperhitungkan…
Tetapi mampukah meratakan keadilan
memimpin penuh kasih sayang?
Sebaliknya jika ternyata isteri yang melulu
Nasihatkanlah dia baik-baik
Ingatlah mestika kata dalam kitab-kitab tua
suami yang bersabar dengan isteri yang jahat
akan mendapat pahala Nabi Ayyub.
Atau ingatlah pesan Umar al-Khattab
ketika didatangi seorang suami
yang dileteri isteri:
“Bersabarlah, kerana sesungguhnya isteri
telah banyak membantu kita
Dia yang menyelamatkan kita
daripada amukan nafsu
Dia yang membantu menjaga anak-anak kita
Dia yang membantu menjaga
makan minum kita
Dia yang mencuci kain-baju kita
Dia yang membantu membersihkan
rumah kita…
Lalu apa salahnya kita bersabar dengan kerenah mereka?”
Taburkanlah segenggam salji
pada secubit api
Insya-Allah,
cinta itu akan semarak kembali!
9 Kesalahan Suami
Copy paste from Majalah I
9 kesalahan yang sering dipandang remeh...
1.Tidak mengajar agama dan hukum syariat kepada Isteri.
Betapa sukarnya untuk menemui seorang isteri yang benar-benar solehah. Malah, ia menjadi satu cabaran besar bagi seorang lelaki untuk mencari dan membentuk pasangan menjadi seorang isteri yang mempunyai sifat yang terpuji dan kriteria pegangan agama yang kuat.
Justeru tidak hairanlah, jika ada di antara isteri masih tidak tahu bagaimanakah untuk menunaikan solat dengan betul, hukum haid dan nifas, melayan suami dan mendidik anak mengikut Islam.
Padahal, Allah SWT telah berfirman,
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” (Surah At Tahrim: 6)
Maka sudah sewajarnya seorang suami itu tidak mengabaikan hal ini, kerana mereka akan diminta untuk dipertanggungjawabkan ke atasnya.
Tip didik isteri....
Hadiahkan buku-buku agama dan lakukan perbincangan bersama.
Menghadiahkan cd atau video ceramah, dan meminta isteri untuk membuat kesimpulan.
Membawa isteri ke majlis-majlis ilmu.
Dorong isteri mendekati Muslimah yang tinggi ilmu agamanya.
Membina perpustakaan mini di rumah.
Lakukan solat berjemaah dan tadabbur al-Quran bersama
2. Mencari-cari kekurangan dan kesalahan isteri.
Barang siapa mencari aib saudaranya sendiri, Allah juga akan mencari aibnya.
Maka, hendaklah seorang suami itu bersabar dan menahan diri dari kekurangan yang ada pada isterinya, sepertimana sabda Rasulullah s.a.w
“Bersikap baiklah kepada para isteri. Kerana mereka tercipta dari tulang rusuk. Dan tulang rusuk yang paling bengkok adalah bahagian atas. Jika kamu hendak meluruskannya nescaya kamu akan mematahkannya. Dan jika kamu biarkan maka dia akan tetap bengkok. Maka bersikap baiklah kepada para isteri.” (Muttafaqun’alaih)
Dan ingatlah sabda Rasulullah s.a.w “Janganlah seorang suami yang beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak darinya, dia pasti meredhai akhlaknya yang lain.”(Riwayat Muslim)
3. Hukuman tidak sesuai kesalahan.
Ia termasuk di dalam bentuk kezaliman terhadap isteri. Di antara bentuk hukuman yang zalim itu adalah:
- Menggunakan pukulan di tahap awal pemberian hukuman. Padahal Allah SWT telah berfirman,“Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuz-nya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka dan pukullah mereka.”( An Nisa’:34)
- Mengusir isteri dari rumah tanpa ada sebab secara syar’i. Allah SWT berfirman yang ertinya: “Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka dan janganlah mereka (diizinkan) ke luar kecuali mereka mengerjakan perbuatan keji yang terang .” (Ath Thalaq:1)
- Memukul wajah, mencela dan menghina. Ada seseorang yang datang bertanya kepada Rasulullah, apakah hak isteri ke atas suaminya?
Baginda menjawab,
“Dia (suami) memberinya makan jika dia makan, memberinya pakaian jika dia berpakaian, tidak memukul wajah, tidak memburuk-burukkan dan tidak memboikot kecuali di dalam rumah.” (Riwayat Ibnu Majah, disahihkan oleh Al Albani)
4. Kedekut memberi nafkah.
Sesungguhnya kewajiban suami adalah memberi nafkah kepada isteri, sepertimana yang ditetapkan di dalam al-Quran yang bermaksud.
“Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara maaruf.” Al-Baqarah:233
Isteri berhak mendapat nafkah, kerana dia telah menjadi halal untuk disenangi, dia telah mentaati suaminya, tinggal di rumahnya, mengatur rumahnya, mengasuh dan mendidik anak-anaknya.
5. Sikap keras, kasar, dan berlembutlah.
Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Mukmin yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isteri-isterinya.” (Riwayat Tirmidzi, disahihkan al Albani)
Maka hendaknya seorang suami itu berakhlak baik terhadap isterinya, dengan bersikap lembut, dan menjauhi sikap kasar. Di antara bentuk sikap lembut seorang suami itu adalah, bergurau senda, menyuapkannya makan dan memanggilnya dengan panggilan yang mesra.
6. Kesombongan suami membantu isteri.
Ini adalah satu kesalahan yang sering kali dilakukan oleh para suami yang beranggapan diri mereka adalah pemimpin dan wajar ditaati. Bahkan ada di antaranya beranggapan, tugas mereka hanya mencari duit, sementara tanggungjawab di rumah hanya dipikul oleh isteri seorang.
Padahal, Rasulullah s.a.w tidak segan-silu membantu isterinya Aishah di rumah. Seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari: “Baginda membantu pekerjaan isterinya. Dan jika datang waktu solat, maka baginda pun keluar untuk solat.” (Riwayat Bukhari)
7. Terburu-buru menceraikan isteri
Wahai suami yang mulia, sesungguhnya hubungan antara engkau dan isterimu adalah hubungan yang kuat lagi suci. Usahlah menceraikan isterimu tanpa sebab. Sesungguhnya talak itu adalah pedang yang dihunuskan ke leher isterimu. Nasihati dan cubalah untuk berdamai.
8. Berpoligami mengikut nafsu
Allah SWT telah berfirman,
“Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja.” An Nisa: 3
Anda boleh bernikah lagi tetapi, seandainya anda tidak mampu untuk berlaku adil, lupakan niat itu demi kebahagiaan isteri dan anak-anak.
9. Remehkan aurat isteri.
Inilah antara penyakit yang semakin tersebar di kalangan kaum Muslimin. Mereka membiarkan keindahan dan kecantikan isteri dinikmati oleh orang lain. Serta membiarkan isterinya bergaul dengan mana-mana lelaki dan menampakkan auratnya ketika keluar dari rumah. Malah, lebih membimbangkan, para suami turut berasa bangga apabila isterinya tampak cantik dan sering dipuji oleh orang ramai.
Majalah i / 2012
Sukarnya menjadi wanita jika diamati
Copy paste from Sinar Harian
SEJAK reti berfikir, saya sering anggap diri bertuah kerana dilahirkan sebagai lelaki. Pada masa itu, perkiraan saya adalah betapa sukarnya jadi wanita, betapa beratnya beban yang mereka tanggung terutama dalam hal kandung mengandung.
Ya, saya akui sekarang saya sendiri juga berperut besar malah besarnya perut saya tiada had tempoh seperti wanita.
Namun dalam keadaan berperut besar, lelaki masih boleh ketawa besar, berjaga malam tonton Piala Dunia di kedai mamak atau kedai tomyam sedangkan wanita yang berperut besar, wajah mereka ketat, selalu berasa loya, sakit kepala dan nampak penat.
Itu belum lagi dikira perlu lapor diri di klinik untuk diperiksa tekanan darah bagi yang bermasalah.
Itu satu hal.
Setiap kali bulan puasa, saya selalu teringat akan lebih sukarnya jadi wanita, terutama pada zaman sekarang di mana kebanyakan isteri bukan sekadar menguruskan rumahtangga bahkan juga seganding dengan suami bekerja mencari rezeki. Ini berbeza dengan zaman emak atau nenek moyang kita dahulu. Ketika itu, kerja harian wanita rata-ratanya hanya menguruskan anak, membasuh dan memasak.
Kalau ada pun yang terlibat dengan urusan cari rezeki, mungkin hanya sesekali seperti menampi padi. Kerja berat atau yang jauh dari rumah diuruskan oleh lelaki. Sekarang sudah tidak sama lagi.
Awal-awal pagi, mereka juga seperti lelaki keluar rumah mencari rezeki. Menjelang malam baharu pulang, malah ada juga yang lebih lewat daripada suami. Sampai di rumah, kalau lelaki mungkin masih boleh berehat, menyandar menonton TV. Tetapi bagi isteri tidak boleh begitu. Masuk rumah, letak beg tangan terus sinting lengan masuk dapur.
Bulan puasa ini, berganda-gandalah lagi banyaknya kerja mereka. Saya ambil contoh paling dekat, isteri saya. Saban hari, selepas balik dari kerja, dia yang menguruskan semuanya. Daripada membeli juadah berbuka, menjemput anak dari taska, kesemuanya.
Ini kerana waima dalam bulan puasa, saya jarang-jarang dapat berada di rumah pada waktu petang melainkan pada hari cuti.
Itu pun dalam seminggu hanya dua hari. Sepanjang bulan puasa, tidak lebih seminggu saya dapat berbuka di rumah. Selainnya di pejabat. Jadi kesemua perkara, tidak dapat tidak, isterilah yang menguruskannya. Dan saya pulang ke rumah, paling cepat jam 11 ataupun 12 malam.
Tidak. Bukanlah niat saya membangkitkan hal ini untuk merangsang wanita berasa negatif. Tujuan saya hanya untuk golongan wanita terutama isteri sedar bahawa bebanan berganda yang mereka tanggung bukan sia-sia sebaliknya sudah dijanjikan ALLAH dengan ganjaran yang amat besar. Berbakti kepada keluarga, menyediakan makan minum untuk berbuka, terlalu banyak pahalanya.
Yang kedua, kepada suami-suami, janganlah lagi jadi ular sawa kenyang berlingkar di depan TV dengan membiarkan isteri di dapur seorang diri. Ya, saya bukan mengata orang lain tetapi diri sendiri. Ini kerana kita selalu anggap hal di dapur adalah tanggungjawab hakiki isteri sedangkan kita terlupa, tanggungjawab hakiki kita, mencari rezeki juga sudah diambil oleh isteri. Jadi, jangan terlalu berkira dengan isteri!
Selesai berbuka, mencuci pinggan mangkuk, lap meja, pun isteri juga. Suami... berlingkar di depan TV kononnya untuk memudahkan proses penghadaman supaya nanti tidak semput waktu bertarawih. Sudahnya, terawih tidak juga kerana ada siaran ulangan Piala Dunia.
Walaupun pagi tadi sudah tengok, masih mahu tengok lagi sambil 'berharap' kalau-kalau keputusan 1-7 itu berubah!
Sudah siap kerja dapur, baharulah ada ruang untuk isteri mandi, solat dan bersiap. Itu pun ada suami yang merungut 'bau masam' dan sebagainya. Sudahnya, kerja lain pula menunggu.. cuci baju, melipat baju, seterika baju. Tidak lagi dikira dengan permintaan/ arahan 'buka baju'.
Memang tidak syak lagi bahawa jadi wanita memang penat. Apa pun, jika semua itu dilakukan dengan ikhlas, reda, ALLAH yang maha adil tidak akan mensia-siakannya. Cuma, suami juga jangan ambil kesempatan. Oleh kerana ganjaran pahala yang besar untuk isteri, maka semua kerja mahu diserah kepada isteri untuk isteri dapat lebih banyak pahala kononnya.
Jangan dilupa, ALLAH juga maha kaya lagi maha pemurah. Tidak akan berkurang pahala untuk isteri jika suami juga turut sama membantu.
Akhirnya dalam usia yang semakin dewasa, bagi saya, siapa pun kita, setiap ketentuan Tuhan ada kelebihannya. Yang penting, kita mesti reda.

