Pada zaman ini hal yang danggap pelik sudah menjadi biasa.
Perkara yang dianggap taboo pun dah diterima dalam masyarakat kita. Entah
mengapa keadaan ini menjadi semakin berleluasa…. Kita lihat dimana mana saja
anak muda tidak kira remaja dan ada juga yang sudah berumur pun melakukan hal
yang sama.
Perkara ini dahulunya dianggap sangat memalukan keluarga.
Namun kini, keadaannya seperti biasa. Tiada membawa apa masalah selagi masalah
besar belum berlaku.
Hari ini berapa ramai pasangan yang tidak berkahwin lebih
gemar tinggal bersama dan berkelakuan seperti pasangan suami isteri. Mungkin
tidak perlu bersusah payah mendaftar perkahwinan. Mungkin juga tidak perlukan
komitmen yang tinggi dalam menjaga amanah daripada Allah. Mungkin juga pasangan
ini tidak mampu mengadakan majlis yang dirasakannya terlalu mahal. Mungkin juga
untuk sekadar berhibur.
Ramai remaja juga kini berani untuk melarikan diri dan
tinggal bersama pasangan masing-masing. Mereka berpendapat kebahagiaan dapat
dikecapi apabila bersama orang yang dicintai apabila mereka dapat bersama-sama
dalam keadaan yang tidak sah.
Mengapa ibu bapa seperti membiarkan hal ini berlaku? Adakah
ibu bapa sebenarnya tidak mengetahui akan perbuatan anak mereka? Atau ibu bapa
tahu akan apa yang berlaku namun tidak mampu lagi untuk menasihati apatah lagi
untuk menghalang perbuatan ini daripada terjadi?
Dan apa yang pelik tapi benar, mengapa mereka sanggup untuk
bersekedudukan tanpa ikatan yang sah. Adakah mereka tidak pernah berfikir
penghujung perjalanan hidup mereka?
Ada yang kata… .”Jika pernikahan pun boleh berlaku
perceraian… jadi mengapa kami perlu bernikah jika sampai masanya kami bercerai
juga?”
Mengapa mereka masih mahu menolak kebenaran dengan cara yang
salah? Mengapa ada yang sanggup mempertaruhkan kehormatan diri kononnya demi
insan yang dicintai secara terang-terangan hal yang salah? Adakah mereka nanti
tidak akan merasa malu jika mereka akhirnya berpisah dan mencari pula pasangan
hidup yang lain? Adakah semudah itu meletakkan maruah hanya dengan berkata dan
bercerita tentang hal-hal lama? Adakah mereka akan bercerita kisah silam
mereka?
Mengapa mengapa mengapa diri sendiri sanggup untuk
membiarkan kezaliman itu dan menerima kezaliman itu tertanggung pada diri
sendiri? Jika pasangan berkahwin apa sahaja yang dilakukan menjadi pahala dan
keberkatan. Tetapi bagaimana dengan pasangan yang tak berkahwin ini? Segalanya
menambahkan dosa.
Tidak kira remaja atau semua manusia di dunia ini… janganlah
pedulikan kata-kata manusia lain dalam menegakkan suruhan Allah. Buatlah yang
sekadar semampunya jika itu saja kemampuan kita. Lakukanlah sebaiknya untuk
mendapat keberkatan dalam hidup kita. Pahala kita cari dan kita fikirkan ke
mana kita halakan anugerah hidup yang Allah beri pada kita.
Jangan salahkan orang lain. Kita dikurniakan akal. Kita
fikirkan jalan sebaiknya. Kita boleh bernikah biarpun pada pandangan orang kita
terlihat miskin. Itu lebih baik daripada kita bersekedudukan tanpa nikah.
Katakanlah berlaku perceraian, kita punya hak untuk mendapatkan bahagian untuk
diri sendiri. Kerana itu kita tidak dizalimi. Itulah sebabnya mengapa Islam
mewajibkan pernikahan pada pasangan. Selain memelihara kehormatan seorang
wanita, ia juga mengangkat darjat wanita itu secara tidak langsung. Perkara ini
perlu difahami bukan sekadar sebab yang bersifat sementara kerana yang
menanggung akibat itu adalah wanita.
Diharap wanita tidak kira umur perlulah berfikir secara
bijak dalam membuat sebarang keputusan. Tidak salah kita berkawan dengan
sesiapa saja.. namun pastikan diri sendiri tahu memilih antara yang baik dan
yang merosakkan diri sendiri.
Kata orang taubat itu boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Namun…. Kematian juga datang pada bila-bila masa. Kita sendiri tidak tahu ajal
kita bila. Hari ini kita masih mampu memberi senyuman pada orang lain. Belum
tentu esok kita dapat menghadiahkan senyuman lagi….. Perjalanan hidup ini
terlalu singkat untuk kita melakukan hal yang merosakkan diri kita. Kita
sendiri belum tahu azab yang akan kita tanggung di akhirat sana. Entah kita
mampu atau tidak…. Allahua’lam.
0 komen dari pembaca:
Post a Comment