Kisah Cikgu Matematik yang garang
Semasa sekolah rendah, saya telah
bersekolah di SK Sri Amar, Johor Bahru. Darjah satu hingga darjah tiga saya
bersekolah petang. Selepas itu saya bersekolah pagi.
Semasa darjah satu hingga tiga
saya telah menunjukkan perkembangan yang baik dalam subjek yang diajar. Saya
akui saya agak pemalu namun jika dibandingkan murid-murid lain, ada yang lebih
pemalu daripada saya. Kiranya saya ni setengah-setengah.
Alhamdulillah walaupun saya
sangat fobia dengan cikgu yang garang sampaikan saya pernah terkencing dalam
kelas sebab takut nak minta izin ke tandas. Tapi saya masih ok lagi. Sebab saya
rasa itu salah saya sebab terlalu takut untuk mengganggu masa belajar. Walaupun
sebenarnya saya dah tak boleh focus sebab menahan kencing.
…
Setelah menunjukkan perkembangan yang baik, saya dapat masuk
ke kelas yang paling hadapan. Kelas 4 Amanah. Bermula dari situ kehancuran demi
kehancuran berlaku.
Mungkin bagi sesetengah murid, mereka tidak mengambil berat
akan emosi guru yang mengajar. Namun, bagi saya…. Guru yang baik adalah guru
yang boleh bertoleransi dan tidak terlalu memaksa dan tidak terlalu membuatkan
murid-murid takut.
Akhirnya saya pasrah juga kerana masih terdapat beberapa
soalan yang tidak siap. Saya petang bersekolah agama. Bila balik rumah dah
sampai lewat petang. Biasanya saya akan tolong mak dulu sebelum saya siapkan
kerja sekolah. Saya menyalahkan diri saya kerana tidak mampu menyiapkan kerja
sekolah yang diberi. Saya sangat tertekan.!!!!
Keesokan harinya saya berharap kalau boleh saya pengsan.
Tapi saya gemuk waktu itu. Mana mungkin saya akan pitam macam kawan saya yang
lebih kurus dan sering hidungnya berdarah.
Semasa kelas matematik, saya dirotan kerana tidak menyiapkan
latihan yang diberi. Cikgu Matematik itu seperti tidak mempunyai perasaan
simpati langsung. Memang sakit bila dirotan. Tapi hati saya sangat sakit waktu
itu.
Sejak kejadian itu. Keputusan matematik saya semakin
merosot. Saya benar-benar seperti kehilangan kuasa dan kegembiraan apabila
belajar Matematik. Kalaulah saya seorang yang berani ponteng kelas. Dah lama
agaknya saya buat begitu.
Pada akhir tahun saya mengetahui yang saya dimasukkan ke
kelas kelima. Saya semakin hilang upaya untuk terus belajar kerana saya
benar-benar rasa tidak dihargai. Keyakinan saya pada waktu itu sudah berada di
tahap paling rendah. Kesungguhan saya seperti sudah tidak punya makna apa-apa.
Semasa di darjah enam, saya ditolak masuk ke kelas yang
keenam. Kejadian ini membuatkan saya semakin hilang keyakinan dalam usaha untuk
belajar dengan tenang. Saya belajar bersungguh-sungguh tapi saya tidak dapat
mencapai apa yang saya inginkan. Ia seperti dihalang oleh batu yang amat besar
dan berwarna hitam. Saya seperti tidak nampak lagi cahaya yang menerangi diri
saya semasa di darjah satu hingga darjah tiga dahulu.
Sewaktu itu saya belajar hanya bergantung kepada keajaiban.
Saya amat berharap agar keajaiban dapat berlaku apabila saya menduduki
mana-mana meja. Keyakinan saya telah benar-benar tiada. Saya gagal dalam segala
aspek. Saya benar-benar hilang dalam diri sendiri.
Mungkin saya tak patut salahkan orang lain. Tapi sewaktu
itu, saya tidak mempunyai kekuatan untuk berbincang dengan keluarga. Saya juga
tidak punya kawan yang rapat dan saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk
berbincang dengan mereka. Sampailah suatu masa…………….. nanti saya cerita.
….
0 komen dari pembaca:
Post a Comment