Pages

Come and be with me

20111203

Mengapa Sejarah Yang Ini Membosankan?

Dicoret oleh; Nurain Shukree at 1:56 am 0 komen dari pembaca
Bosan. Kuyu mata dibuatnya.

Macam manalah agaknya saya nak mencari keseronokan dan keghairahan dalam membaca material ini, sebagaimana keghairahan dan kepuasan yang saya perolehi ketika membaca material yang lain.

Bulat mata saya membaca sejarah Islam. Ligat kepala saya membaca sejarah Eropah, baik zaman Pertengahan, mahu pun Eropah Moden. Seronok saya membaca sejarah Amerika malah kajian-kajian sejarah tentang aktiviti Lanun di perairan Mediterranean.

Tetapi kenapa saya jatuh bosan, apabila membaca sejarah Malaysia? Sejarah tanah air saya sendiri. Sejarah bangsa saya sendiri. Baik buku sejarah Sekolah Rendah, Menengah mahu pun sampai ke peringkat pengajian Master hari ini. Sungguh menjemukan.


BACA BALIK

Cuti lalu saya balik ke kampung. Gerobok buruk saya punggah kembali, mencari semula buku teks Sejarah Malaysia SRP dan SPM.

Apakah saya bosan kerana cara cikgunya mengajar? Guru Sejarah saya semasa SRP juga SPM, kedua-duanya adalah cikgu paling kelakar dalam sejarah persekolahan saya. Melihat muka mereka sahaja sudah cukup membuatkan saya geli hati. Tetapi saya tetap bosan.

Peperiksaan percubaan SPM, dalam deretan angka 1, keputusan subjek Sejarah saya adalah C6! Mujur sempat dibaik pulih menjelang peperiksaan sebenar.

Saya semak kembali buku-buku yang saya gunakan dalam subjek Sejarah Malaysia dulu. Terima kasih emak kerana setia menyimpan khazanah buku saya sejak sekolah hingga hari ini.

Jelas sekali, bosan itu bukan kerana salah guru mengajar. Membaca kembali buku tersebut sebagai pelajar Master di bidang Sejarah, saya masih bosan. Seperti bosannya saya 15 tahun yang lalu.


BERTEMU PENJELASAN

Di dalam kelas Islam and the West minggu lalu, saya berjaya mendapatkan penjelasan yang memuaskan hati, mengapa sejarah Malaysia membosankan.

When you read the History of Malaysia, you will see Malaysian, not human being!”, kata Prof Abdullah al-Ahsan ketika mengulas soalan saya.

Tepat sekali.

Ia bukan sahaja masalah Malaysia tapi di kebanyakan tanah air lain juga.

Golongan negarawan (nasionalis) telah menjadikan sejarah sebagai alat untuk membentuk dan mengacu rakyatnya mengikut keperluan, kepentingan dan kehendak negara tersebut. Maka sejarah dalam kerangka nasionalis hanya mahu berusaha mewujudkan rasa cinta, kagum, dan penghargaan rakyat kepada negara. Ia dinamakan patriotisma, lanjutan daripada La Patrie ala Napoleon Bonaparte.


Apakah patriotisma itu? Ia adalah rasa kebersamaan rakyat yang berkongsi penderitaan dan kejayaan yang sama.

Maka sejarah Malaysia atau negara mana sekali pun, diolah penuh dengan catatan derita dan kejayaan. Berapa ramai tokoh dan hero yang dibentangkan dalam sejarah kita? Berapa emosinya kisah itu diceritakan? Namun ia hanya bertujuan menghasilkan perasaan dramatik lantas rasa terhutang budi pada yang menabur, rasa ingin berbakti bagi yang menggelegak perasaannya. Ia adalah demi melahirkan seorang warga Malaysia!



Apakah ini matlamat sejarah?

KRITIKAN IBN KHALDUN

Lihat petikan kata Ibn Khaldun di dalam Muqaddimah beliau:

“… For on the surface history is no more than information about political events, dynasties, and occurences of the remote past, elegently presented and spiced with proverbs… Little effort is being made to get at the truth. The critical eyes, as a rule, is not sharp… The later historians were all tradition-bound and dull of nature and intelligence, or did not try to avoid being dull. They merely copied their predecessors and followed their example. They disregarded the change of conditions and in their customs of nations and races that the passing of time had brought. Thus, they presented historical information about dynasties and stories of events from the earliest times as mere forms without substance, blades without scabbards; as knowledge that must be considered ignorance, because it is not known what of it is extraneous and what is genuine…” (Ibn Khaldun, The Muqaddimah, Oxfordshire: Princeton University Press, 2005, page 5-7)

Panjang lagi bebelan Ibn Khaldun yang mengkritik ahli sejarah yang membentangkan sejarah tanpa inti.

Menumpukan perhatian hanya kepada apa yang berlaku, siapa pelaku, apa kesannya, dan bila jatuhnya serta siapa penggantinya, amat membosankan. Kerana bukan itu tujuan sejarah.

Sejarah adalah wadah mengkaji manusia, memerhati kelakuan dan pemikiran manusia, agar kesimpulannya boleh digunakan untuk membentuk manusia. Itulah enjin sejarah.



KOMPONEN MANUSIA

“Anda mungkin rasa contoh-contoh yang saya beri dalam ceramah ini seperti simplistik ketika bercakap tentang akal dan tahu, hati dan mahu, nafsu dan mampu, tetapi percayalah, dari isu tikus dan ahli sihir, dari kisah rumahtangga, dari persoalan lulusan PhD jadi pengikut ajaran sesat, dari peringatan saya tentang pendekatan dakwah, sampailah kepada sejarah Eropah di era Rasionalism, Romanticism, Realism, Era of Anxiety dan Irrationalism… semuanya adalah cetusan kelakuan manusia. Iaitu soal akal, hati dan nafsu”, saya cuba membuka minda pelajar yang hadir ke ceramah Purpose of Life di UIAM tempoh hari.

Tetapi sejarah Malaysia tidak ditulis untuk memahami manusia. Ia hanya mahu membincangkan akibat dan hasil perbuatan manusia. Soal mengapa manusia melakukannya, dan di manakah letaknya signifikasi perbuatan itu dalam tingkah laku manusia… saya hampir tidak pernah menemuinya.



SEJARAH TANPA IDEA

Sebab itulah kita jarang bertemu dengan diskusi tentang IDEA semasa membaca Sejarah Malaysia. Pemikiran dan idea, bukan sebahagian agenda subjek Sejarah. Kalau ada penulisan tentang pemikiran Tunku Abdul Rahman hingga ke Tun Mahathir, ia bukan sebahagian daripada subjek Sejarah.

Maka sejarah tidak ubah seperti kelas tahfiz yang melahirkan penghafal tanpa kefahaman tentang apa yang dihafal.

Otak kanan tak guna pun, masa belajar tentang Sejarah!



SEJARAH ALTERNATIF

Saya tidak percaya yang Sejarah Malaysia gagal membangkitkan kesedaran Islam semata-mata kerana kesalahan fakta, sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak. Mereka berpendapat., sejarah Malaysia telah mengkesampingkan nama-nama penting seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan Mat Kilau, serta peranan ulama’ dalam kemerdekaan. Percayalah, jika nama mereka dimasukkan sekali pun ke dalam Sejarah Malaysia, saya tetap akan mengantuk dan bosan, jika ia masih bercakap tentang apa yang dibuat, bila ia dibuat… semata-mata.

Sejarah harus bercakap tentang idea dan pemikiran. Ia mesti bercakap tentang kelakuan dan tabiat manusia. Ia harus mengorek apa yang ada pada akal, hati dan nafsu setiap insan yang dicatatkan. Sejarah mesti bermaksud belajar memahami manusia. Bukan menghafal kesan perbuatan manusia.

Kesan perbuatan manusia, adalah urusan Allah untuk membalasnya di Akhirat sana.

Baru celik mata saya di pagi ini. Alhamdulillah!

diperoleh daripada: http://saifulislam.com/?p=906
 

Shain Blog Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea