Pages

Come and be with me

20111026

Diet Ikut Jenis Darah anda

Dicoret oleh; Nurain Shukree at 12:00 pm 0 komen dari pembaca



LUMRAH bagi seorang manusia, golongan wanita khususnya membimbangi setiap peralihan jarum penimbang berat badan. Ditambahkan pula jika jarum penimbang berbeza dua atau tiga garis ke kanan, pasti hati tidak keruan dengan niat dipasang untuk berdiet. Pelbagai ubat-ubatan menguruskan badan bagi mengembalikan bentuk badan ideal berlambakan di pasaran. Rakan-rakan pula bertindak sebagai penasihat pemakanan persis pakar pemakanan dengan mengesyorkan jenama-jenama tertentu yang dikatakan dapat memberikan kesan yang diingini. Tidak kurang juga pengalaman-pengalaman mereka yang berjaya mengurangkan berat badan melalui pengambilan ubat-ubatan tertentu. Segala nasihat diikuti, tetapi malangnya jarum penimbang tidak juga beralih ke kiri. Anda mula mempersoalkan keberkesanan dan kebenaran nasihat rakan-rakan anda. Mengapa Si A berjaya mengurangkan berat badannya tetapi tidak anda walhal segala peraturan dan ketetapannya dipatuhi?


Mungkin apa yang kurang adalah anda tidak mengetahui makanan apakah yang bersesuaian dengan jenis darah anda. Diet berdasarkan golongan darah pertama kali diperkenalkan oleh Dr. Peter J.D´Adamo yang menjalankan penelitian pada setiap jenis darah yang menunjukkan kesan fisiologi berlaku terhadap lektin yang masuk dalam tubuh badan. Lektin adalah protein yang terdapat pada makanan, khususnya tumbuhan kekacang. Setiap protein makanan yang diserap tubuh, menurutnya hanya sesuai dengan jenis darah tertentu. Dalam bukunya, “Eat Right For Your Type” yang diterbitkan pada tahun 1996 menerusi kajian yang dijalankan bertahun-tahun itu menjelaskan bahawa setiap individu memiliki tindakbalas yang berbeza terhadap makanan berdasarkan jenis darah yang dimiliki.



Dr. Peter J.D´Adamo


Menurutnya, diet yang tidak berjaya berkait rapat dengan perkaitan ini dengan menambah bahawa lektin makanan yang tidak serasi dengan jenis darah tertentu akan membawa komplikasi buruk terhadap kesihatan individu antaranya penggumpalan sel darah merah dan pelbagai komplikasi lain. Ini berbeza dengan pengambilan makanan yang sesuai dengan jenis darah kerana ia memberikan kesan positif antaranya keadaan emosi yang lebih stabil, mudah mengatasi tekanan dan peningkatan daya tahan lawan penyakit.

Selain itu pengambilan makanan yang bersesuaian dengan jenis darah juga dipercayai dapat mengembalikan fungsi sistem tubuh dan memperbaiki metabolisma tubuh. Darah terdiri daripada empat jenis iaitu A,B,AB, dan O.


DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘A’

Dr. Peter J.D´Adamo dalam bukunya menyarankan pemilik jenis darah A mengambil diet vegetarian dengan pengambilan makanan yang mengandungi lektin yang sedikit. Ini kerana jika kandungan lektin diambil dalam kuantiti yang banyak akan mengakibatkan masalah perut. Menurut beliau lagi, golongan individu yang memiliki jenis darah A menghasilkan kandungan lendir lebih banyak berbanding jenis darah lain. Keadaan ini menimbulkan risiko terhadap jenis penyakit jenis alahan seperti asma, infeksi telinga dan gangguan pada saluran pernafasan. Selain itu sumber makanan berasaskan haiwan seperti ikan dan ayam boleh diambil tetapi dalam kuantiti yang terbatas.

Individu dengan jenis darah ini juga dianjurkan mengambil susu yang telah melalui proses penapaian seperti susu masam, krim tanpa lemak, keju alami, telur dari jenis organik atau ayam kampung (dalam jumlah terbatas), lemak (dalam jumlah terbatas, kekacang dan bijirin dan susu kacang soya. Individu darah jenis ini perlu mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kuantiti yang banyak. Makanan yang harus dihindarkan adalah hidangan laut berwarna putih seperti ikan siakap putih, cumi-cumi, daging lembu, daging salai, susu, keju hasil olahan industri, kacang merah, roti, kuih-muih, kek, kentang, mangga, betik, jeruk, pisang, minyak jagung dan minyak kacang tanah.

Ciri khas individu jenis darah A:
• Memiliki sistem pencernaan yang sensitif
• Perlu menghindari makanan yang daripada produk susu dan daging
• Dianjurkan menjadi vegetarian atau mengambil makanan berkadar karbohidrat tinggi, namun rendah lemak
• Mengurangkan stres dengan bermeditasi, atau berolahraga
• Cukup beristirehat

Menu diet yang dianjurkan:

Sarapan : Air putih dicampur jus limau nipis dan oat

Snek: Jus anggur / kopi

Makan Tengah Hari: Salad dan roti gandum satu potong serta teh herba

Snek: Kuih beras dua potong dan teh hijau

Makan Malam : Pasta tanpa daging campur brokoli, yoghurt dan teh herba


DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘B’

Berbeza dengan individu darah jenis A, individu darah jenis B lebih fleksibel. Teori Dr. Peter J.D’Adamo menyarankan golongan jenis darah ini menghindari makanan beku atau makanan dalam tin manakala sangat menganjurkan makanan berasaskan susu yang memiliki kandungan karbohidrat yang tinggi.

Ciri khas golongan darah B:

• Dianjurkan untuk melakukan diet dengan berbagai-bagai variasi makanan, namun perlu menghadkan pengambilan daging.
• Disarankan mengambil makanan dan minuman berasaskan susu untuk meningkatkan sistem imunisasi badan.
• Olahraga yang sesuai dilakukan adalah berenang, bermain tenis, berjalan kaki dan bermeditasi. • Untuk mengatasi stres, disarankan memiliki hobi dan aktiviti berasaskan kreativiti.

Pemilik golongan darah B sangat mudah terhadap penyakit berkaitan imunisasi dan serangan virus, mereka disarankan agar mengambil sayuran hijau yang kaya magnesium dalam kuantiti yang banyak.

Makanan yang dianjurkan adalah daging lembu, kambing kibas, arnab, ikan laut, semua produk susu kecuali ‘blue chesse’ dan aiskrim, telur ayam organik dan ayam kampung, minyak zaitun, beras merah, beras putih, makanan berasaskan beras dan buah-buahan.

Manakala makanan yang perlu dikurangkan pengambilannya adalah ayam, ketam, udang, kerang-kerangan, telur puyuh, telur itik, minyak bijan, minyak jagung, minyak biji matahari, minyak kacang tanah, minyak soya, kelapa, santan, soya, kacang tanah, biji bunga matahari, biji labu, bijan, kacang pistacio, tempe, tauhu, kacang merah, makanan berasaskan gandum, mi segera, beras pulut, jagung, lobak, tomato dan jagung.



buah-buahan yang berkhasiat



Menu diet yang dianjurkan:

Sarapan: Bijirin dan buah pisang beserta segelas susu tanpa lemak

Snek: Jus anggur

Makan Tengahari: Sepotong dada ayam dan dua potong roti beserta salad dan teh herba

Snek: Jus limau/yogurt dan teh herba

Makan Malam : Sepotong ikan salai, sayur rebus, buah-buahan segar dan teh herba


DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘AB’

Pola makan pemilik golongan darah AB adalah gabungan antara pola makan golongan darah jenis A dan B. Penyakit yang berisiko dijangkiti adalah sinus, infeksi telinga, dan gangguan saluran pernafasan.

Pengambilan jenis makanan yang dianjurkan adalah hidangan laut, semua jenis telur (kecuali telur itik), susu fermentasi (melalui proses penapaian), minyak zaitun, minyak kacang soya, minyak kacang tanah, kacang tanah, semua jenis sayuran kecuali jagung, taugeh dan cendawan dan semua jenis buah-buahan kecuali jeruk. Golongan daripada jenis darah ini, harus menghadkan pengambilan daging lembu, udang dan ikan laut, susu dan semua produk susu serta daging yang diproses. Makanan berasaskan kekacang pula perlu diambil dalam kuantiti sedikit. Kurangkan pengambilan berasaskan gandum seperti roti, kek, kuih-muih dan pasta.

Ciri khas individu jenis darah AB:

• Memiliki sistem pencernaan yang sensitif
• Disarankan untuk mengambil makanan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap
• Untuk lebih bertenaga olahraga pada setiap pagi digalakkan

Menu diet yang dianjurkan:

Sarapan : Air limau nipis, jus anggur, roti dua potong beserta satu potong keju

Snek : Yogurt

Makan Tengahari : Dada ayam empat hirisan, salad, dua biji buah plum dan teh herba

Snek: Kek keju dan teh herba

Makan Malam : Omelet dan salad buah serta kopi


DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘O’

Dr. Peter J.D´Adamo menyarankan agar pemilik darah jenis O lebih banyak mengambil makanan berprotein tinggi, mengikut diet rendah karbohidrat dengan pengambilan ikan atau daging (kecuali daging yang diolah) serta sayur-sayuran yang banyak, telur dan kacang namun menghindari produk susu dan gandum. Beliau turut menyarankan agar pemilik darah jenis ini menghadkan pengambilan buah-buahan. Pemilik darah jenis O harus menghindari semua jenis bijirin, pasta dan nasi. Dr. Peter J.D´Adamo turut menyenaraikan jenis makanan yang perlu dihindar seperti sayur brokoli, sawi, taugeh, terung, cendawan, dan kentang. Bagi pemilik darah jenis ini, telur, susu, gandum dan kekacang tidak diperlukan memandangkan tubuh telah mendapat khasiat daripada sumber daging. Hindari jeruk kerana ia mampu mendatangkan keracunan usus kepada golongan darah jenis ini.

Ciri khas golongan darah O:

• Memiliki sistem imunisasi tubuh yang lebih tinggi berbanding golongan darah jenis lain
• Mudah mengadaptasi berbagai makanan
• Untuk mengatasi tekanan, disarankan melakukan aerobik
• Dianjurkan untuk mengambil makanan berprotein tinggi dan rendah karbohidrat, seperti daging, buah-buahan, ikan, sayuran
• Berisiko terkena radang dan kerosakan organ seperti arthritis jika makanan yang diambil tidak bersesuaian

Menu diet yang dianjurkan:

Sarapan : Dua potong roti bakar lapis mentega dan sebiji pisang

Snek : Teh herba

Makan tengahari: Sepotong daging panggang, salad bayam dan epal

Snek : Sepotong kuih

Makan Malam : Sepotong daging lembu dan asparagus yang direbus, kentang rebus, buah-buahan dan teh herba

Hasil kajian yang dilakukan oleh Dr. Peter J.D´Adamo ini adalah suatu yang baru dan masih terdapat pertikaian daripada pakar pemakanan. Justeru, tidak melihat kepada jenis darah, apa yang lebih utama adalah mengamalkan pemakanan yang sihat. Pemakanan sihat hakikatnya adalah mengenai memenuhi keperluan pemakanan harian dan pada masa yang sama, mengelakkan kekurangan atau berlebihan zat yang boleh menyumbang kepada risiko penyakit yang berkaitan dengan pemakanan tanpa mengira jenis darah individu. Ia meliputi membuat keputusan yang bijak tentang apa jenis makanan yang harus dimakan dan bagaimana mengamalkan tabiat makan yang sihat. Justeru, terpulanglah kepada anda sama ada ingin mengadaptasi saranan Dr. Peter J.D´Adamo ataupun tidak.



Sumber: Artikel dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
31 January 2008
Susunan NOORZIHAN MOHAMED YIN

MELAYU DELI DAN MELAYU DI THAILAND TENGAH

Dicoret oleh; Nurain Shukree at 10:45 am 0 komen dari pembaca
Saya sangat tertarik dengan lagu Melayu Deli yang sering diperdengarkan di Radio Best104 pada setiap petang pukul 6 sehingga 8 malam. Best sangat. Tak banyak radio siarkan lagu melayu deli. Nak siarkan keroncong apatah lagi. Jadi saya rasa terpanggil untuk menggali sejarah Melayu Deli. Di bawah ini saya cari blog yang berkisarkan sejarah Melayu Deli. Semoga kita mendapat sedikit ilmu daripada pembacaan ini.

Melayu Deli???

Melayu sangat rapat dengan penduduk di Tanah Melayu. Hingga Melayu di luar lingkungan tersebut sering tersisih dari sebutan Melayu. Mereka terus menjurus kepada daerah atau pun negari misalnya orang Aceh, orang Palembang, orang Deli dan sebagainya. Tetapi sebenarnya Melayu amat rapat dengan Deli dan Melayu Siam ( Thailand ) Saya belum mahu menyentuh mengenai Melayu Riau, Melayu Singapura, Melayu Brunei dan yang lain-lain dalam naskah ini.


Melayu Deli adalah orang Melayu yang menempati Deli, di Sumatera Timur, Indonesia. Dikenali juga sebagai Melayu Pesisir Sumatera Timur. Dinamakan Melayu Deli disebabkan tempat itu bernama Deli iaitu sebuah daerah yang terletak di antara Aceh dan Asahan. Dipercayai bahawa asal-usul mereka daripada keturunan Muhamad Derikan, anak raja Islam dari Hindustan, Deli Akbar. Dikatakan kapal baginda telah terhempas dipukul taufan di pantai Pasai, Aceh pada tahun 1580. Sebagai musafir di rantau orang, baginda melalui berbagai ranjau kehidupan sebelum menyesuaikan dirinya dan akhirnya dapat memperisterikan puteri Sultan Aceh. Dengan kedudukan sebagai menantu Sultan Aceh, baginda bergelar Panglima Lebai Hitam. Gelaran tersebut sesuai dengan kepahlawanan baginda serta sifat tawaduknya. Hitam pula merujuk kepada warna kulitnya. Itulah dipercayai keturunan Melayu Deli. Baginda dikurniakan anak lelaki bernama Gojah Pahlawan. Gojah pahlawan amat setia dengan kerajaan Aceh. Bagindalah yang membuat pengawasan bagi pengamanan beberapa wilayah di bawah kekuasaan Aceh yang bergolak. Akhirnya baginda diberi wilayah pemerintahannya sendiri untuk baginda. Ia dinamakan Deli mengambil nama keturunan ayahandanya Deli Akbar atau Panglima Deli.



Deli terus mengembang dari semasa ke semasa. Majoriti penduduk Melayu juga bertambah disamping penduduk dari kaum Cina, Arab, Eropa dan Asia Timur. Melayu Deli mengamalkan adat istiadat masyarakat Melayu yang beragama Islam, berbudaya, beradat, bertertib dan berilmu. Sistem kepercayaan orang Deli ialah Sunnah Waljamaah mazhab Syafie. Di hari-hari kebesaran Islam seperti Idulfitri dan Iduladha, kaum lelaki Deli memakai baju teluk belanga atau cekak musang dan berkopiah serta wanitanya berbaju kurung, bertudung dan bersanggul. Berkepakaran juga dalam kraftangan seperti membuat tikar, raga, lekar, sumpit dan janur serta arif dengan nafiri, seruling, rebab, biola dan sebagainya. Nah! itukan semuanya milik bersama Melayu di semenanjung Tanah Melayu yang sama dipunyai di Deli, Aceh, Palembang dan kawasan-kawasan lain. Sesungguhnya Melayu itu amat besar lingkung dan wilayahnya.

Sementara Melayu di Thailand ( Siam ) kedapatan di tengah Thai ( dalam kontaks ini tidak menyebut Melayu di selatan Thai yang sinonim dengan Melayu di Kelantan, Malaysia ) iaitu di Ayuthia, Bangkok, Thonburi dan beberapa kawasan sekitar. Walaupun asalnya Melayu, namun generasi muda mereka tidak lagi mampu berbahasa Melayu. Malah mereka dikenali sebagai komuniti Muslim Thai. Menurut catatan sejarah, pada abad ke 17, di Ayuthia ( ibu negara Thai ketika itu ) majoriti penduduknya adalah orang Melayu. Mereka adalah pedagang, diplomat atau pegawai istana. Ketika itu banyaklah kisah panji Melayu yang diterjemahkan ke bahasa Thai. Pada tahun 1686, terdapat pemberontakan oleh orang Melayu Makasar yang mahu menabalkan raja Islam. Ia berakhir dengan tumpah darah dan banyak jiwa terkorban. Pada tahun 1767, terjadi serangan oleh orang Burma ( Myammar ) di Ayuthia. Namun pencerobohan itu dapat ditumpaskan pada tahun 1785. Pada tahun 1791, pemberontakan terhadap raja Thai ditumpaskan, Patani diserang orang raja Thai dan orang Melayu dijadikan tawanan. Banyak siri perlawanan orang Melayu terhadap kerajaan Thai dari dahulu hingga sekarang.


Kini orang Melayu di tengah Thailand telah menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran. Namun masih dapat dilihat lelaki Melayu memakai kain pelekat, manakala wanitanya memakai kain batik sarung terutama pada hari-hari perayaan dan hari cuti seumpamanya Jumaat. Selain berkain pelekat, mereka memakai kopiah. Pada hari perayaan seperti Idulfitri dan Iduladha mereka menghidangkan ketupat ( tupa ) bersama sup ekor lembu atau ayam. Hanya generasi tua yang masih mengamalkan hal tersebut serta bahasa Melayu dielek Patani/Kelantan. Generasi muda semakin jauh dari akar Melayu. Namun mereka masih dikenali perwatakan Melayunya daripada segi rupa dan amalan kehidupan seharian yang berteraskan Islam. Selagi mereka Islam, Melayu masih dapat dipertahankan biar dalam skala yang paling nihil. Huallah 'alam Bisawab...

http://terombarawa.blogspot.com/2010/09/melayu-deli-dan-melayu-di-thailand.html

Jangan hanya menyalahkan....

Dicoret oleh; Nurain Shukree at 9:14 am 0 komen dari pembaca
Semua orang faham bila sebut perkataan GURU, sudah tentu tanggungjawabnya mengajar. Itulah tugas hakiki guru. Sering disebut dan berkali-kali diulang.

Bila saya baca blog pensyarah saya berkisar guru,saya akui kata-katanya. Ada juga saya baca blog lain-lain tentang Generasi Y (generasi hari ini). Apa yang penting bagaimana menguruskan generasi Y dengan baik.

Segalanya terlihat begitu cepat. Semua perubahan perlu dilakukan dengan pantas. Kadangkala terasa tidak terkejar dengan mereka. Mungkin jika di bandar. Tetapi dengan keadaan saya disini, saya letakkan mereka agak lewat. Lewat untuk sedar apa sebenarnya yang berlaku di khalayak luar sana. Apa yang berlaku di luar sana adalah lebih kejam berbanding zon selesa mereka disini. Jika mereka tidak sedar dan tidak bangun dari tidur yang lena, mereka akan terus ketinggalan oleh rakan-rakan mereka di luar sana.

Namun hakikat ini tidak pernah dipedulikan. Matlamat mereka datang ke sekolah sering meragukan. Adakah yang datang ini benar-benar dengan niat yang ikhlas untuk belajar? Adakah kehadiran mereka ke sekolah sekadar menjauhkan leteran-leteran ibu di rumah? Adakah mereka yang datang ke sekolah sekadar ingin bertemu dengan teman-teman dan mungkin teman wanita tersayang? Banyak persoalan yang diluar kotak pemikiran terpaksa dijengah supaya pelajar-pelajar ini sedar akan tujuan asalnya.



Bercerita tentang keadaan manusia yang sentiasa kejar-mengejar untuk memenuhi keperluan masing-masing, guru mula menjana strategi untuk mengubah minda untuk melakukan transformasi pemikiran mereka. Namun kehadiran guru dipandang sepi. Kehadiran guru seperti tidak diperlukan. Ada pun tak apa. Tak ada lagi bagus.

Alangkah ruginya mereka? Saya sedih melihat keadaan ini. Sukar untuk mengubah anak bangsa jika mereka tidak membuka pintu hati mereka untuk berubah. Bagaimana guru akan terus berdiam diri jika anak-anak bangsanya ini dalam keadaan lena dan leka... Aduhai anak bangsaku.

Bila nak salahkan pelajar-pelajar, sudah tentu akan terkena batang hidung guru-guru yang mengajar. Ada yang kata guru mengajar tiada strategi, guru tak pandai mengajar, guru kurang persediaan, guru tak prihatin, guru tak minat nak mengajar, guru tiada ilmu. Saya sedar kalau golongan ibu bapa yang diluar sana lebih mudah menuding jari menyalahkan guru. segalanya terpikul di atas bahu guru seorang itu sahaja. Tetapi ibu bapa tidak sedar, anak-anak itu seringkali merungut akan hal-hal mereka dan mencampakkan kepada guru-guru. Guru menjadi mangsa ibu bapa. Bila Mesyuarat PIBG diadakan, ibu bapa sukar hadir untuk membincangkan bersama-sama dengan guru.

Dimana peranan utama ibu bapa? Ibu bapa juga pemangkin kejayaan anak-anak. Jika anak-anak ini tidak didorong oleh ibu bapa untuk berjaya, mereka akan sentiasa berada dalam keadaan yang rugi. Setiap kita mempunyai masalah masing-masing. Masalah adalah lumrah bagi setiap orang. Sama juga ibu bapa dan pelajar. Diharap mereka memberi perhatian kepada anak-anak mereka.

Falsafah di sebalik Pesta Cahaya

Dicoret oleh; Nurain Shukree at 7:44 am 0 komen dari pembaca
Deepavali atau Diwali

Deepavali / Diwali merupakan satu pesta tradisi India yang diraikan pada hari pertama bulan Kartika Kalendar lunar (sekitar bulan Oktober dan Ogos).Terdapat pelbagai kisah lagenda yang sering dikaitkan dengan perayaan ini, yang paling mashyur ialah kisah Ramayana dimana Putera Rama ( yang juga dianggap sebagai dewa Krisna oleh penganut agama Hindu aliran Vaisnawisme) yang menewaskan raksasa jadian Narakasura yang berkepala 10.

Diwali bukan sahaja disambut oleh orang Hindu, bahkan perayaan ini turut diraikan oleh penganut agama Sikh dan Jain, dan penganut agama Buddha Nepal (khasnya aliran Newar), walaubagaimanapun latar belakang mengapa perayaan ini disambut adalah berbeza-beza. Pada hari ini, festival ini lebih dikenali di seluruh dunia sebagai The Festival of Light, dimana cahaya melambangkan kemenangan kebaikan mengalahkan kejahatan dalam diri setiap individu.

Mengikut satu teori Diwali mungkin berasal daripada pesta tuai yang menandakan tuaian terakhir sebelum tibanya musim sejuk. Dalam masyarakat agreriria ini menyebabkan kapitalis-kapitalis… hehe maksud saya para peniaga menutup akaun kira-kira, dan memulakan akaun tahunan yang baru. Ini juga menjelaskan mengapa penganut agama Hindu juga menjalankan pemujaan dewi kekayaan Lakshmi pada hari tersebut (untuk tahun depan yang lebih makmur), turut menjelaskan ukuran Lakh yang digunakan di India (1 lakh rupees = $2564).

Lagenda

Berbalik kepada lagenda Ramayana, Putera Rama yang pulang selepas 14 tahun daripada hutan telah diraikan oleh rakyat Ayodhya (ibu kota kerajaanya) dengan menyalakan barisan lampu minyak yang diperbuat daripada tanahliat. Ini juga menjelaskan maksud perkataan Deepavali atau korupsinya Diwali yang bermaksud barisan lampu tanah didalam bahasa Sanskrit. Versi di selatan India pula, (yang dipercayai oleh rata-rata orang Tamil yang merupakan kaum India yang majoriti di Malaysia) menjelaskan bahawa hari Deepavali menandakan hari Dewa Krisna menewaskan raksasa jadian berkepala 10 Narakasura (ketua neraka/ raja neraka) (menjelaskan perkataan Neraka yang berasal daripada bahasa Sanskrit). Di barat India pula Deepavali juga menandakan hari Raja Bali menjelajah ke alam barzakh. Pesta Onam di Kerala Sri Lanka turut berkongsi lagenda yang sama.

Dalam agama Jain pula Deepavali menandakan pencapaian tahap nirvana Dewa Mahavira, yang berlaku pada 15 Oktober, 527 BC. Penganut agama Sikh pula menyambut Diwali bagi tujuan yang berbeza sama sekal, iaitu sempena memperingati pembebasan Guru Hargobind Ji daripada penjara bersama 52 orang Raja Hindu (tahanan politik ).. (yes just like the Malaysian ISA detainees). Setelah dibebaskan Guru Hargobind Ji, kembali ke Golden Temple Amritsar, dan disana beliau telah disambut oleh pengikutnya dengan menyalakan lampu minyak. Jadi untuk memperingati kemenangan dan kebebasan yang dicapai penganut agama Sikh menyalakan lilin pada malam hari Diwali.

Maksud disebalik perayaan ini adalah kesedaran cahaya dalaman. Dalam erti kata lain, pencerahan nilai-nilai manusiawi/kemanusiaan dalam diri sendiri.Falsafah yang menjadi asas kepada agama Hindu menerangkan bahawa terdapat sesuatu yang lebih jauh daripada tubuh fizikal, dan minda yang suci, infinit, dan kekaliaitu Atma (macam roh lah). Secara ringkasnya Deepavalli menandakan pembebasan duniawi, dan kesedaran pencerahan rohani yang membawa bersama nilai-nilai universal seperi kasih sayang, kemanusiaan, dan kesedaran pluralisme sejagat dan akhirnya Ananda atau ketenangan jiwa dicapai. Tuk mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua makkal Malaysia. Makkal Sakhti!!! hehehe…

http://diskopi.wordpress.com/2008/10/20/falsafah-disebalik-pesta-cahaya/
 

Shain Blog Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea