Pages

Come and be with me

20130112

DERMA VS. PENGEMIS

Dicoret oleh; Nurain Shukree at 11:08 am 0 komen dari pembaca
"Pada suatu hari Sabtu yang lepas, semasa ke Giant yang bersebelahan dengan Petronas. Terdapat beberapa orang peminta derma. Derma itu dikatakan bertujuan untuk membantu anak-anak di rumah kebajikan swasta. SI peminta derma menghulurkan sebuah buku himpunan doa dengan mengatakan bahawa buku itu diberi PERCUMA, tetapi dengan derma seikhlas mungkin sebanyak RM10.00."



Berpetik dari kenyataan di atas tu la kan.... Saya tak pasti apa pendapat anda. Tapi saya rasa anda semua boleh baca petikan yang saya keluarkan daripada petikan ini. Apapun pendapat anda, itu pendapat anda. Kat bawah ni pendapat saya.


Kisah peminta derma:
Pada pendapat saya apapun derma, biarlah kita yang nak derma tidak rasa seperti dipaksa. Menderma perlukan keihklasan. Bukan paksaan walaupun kata-kata yang dikeluarkan si peminta derma seperti memujuk. Saya rasa tak perlu. Saya bukan orang yang berkira. Tetapi banyak perkara yang terjadi dihadapan mata. Terus terang saya tidak suka orang datang meminta bantuan secara paksa. Daripada kata-katanya itu membawa banyak maksud.

Terdapat juga si peminta derma yang berada di depan bank, memakai pakaian muslim. Meminta derma untuk sekolah tahfiz, rumah anak-anak yatim. Paling kesian ada 2 kisah yang pernah saya lalui. Pertama semasa di kedai makan. Masa tu jam menunjukkan pukul 10 malam. Seorang gadis berbaju kurung datang meminta bantuan untuk sekolah tahfiz di negeri Kedah, katanya. Semasa itu, kami tidak membeli kalender yang dijualnya. Kami memberi wang kepadanya dengan berkata duit itu untuknya. Bukan untuk sekolah tahfiz.

Sekali lagi, ditempat yang lain..sewaktu makan bersama ibu dan adik. Seorang gadis lain memakai baju kurung. Kali ini kami sempat berbual dengan gadis itu. Ibu saya bertanya dari mana asal gadis itu, dia berkata.. Asalnya dari Kedah. Mengapa sanggup buat keje ni...
Gadis itu menjawab dia seorang sukarelawan dan ingin membantu sekolah tahfiz itu.
Kamu tinggal di mana? (sedangkan saya berada di Johor Bahru pada ketika itu).
Gadis : Saya tinggal di Pasir Gudang, makcik.
"Sampai pukul berapa kamu berada di sini?" Gadis : Biasanya sampai malam.
Ibu saya bertanya lagi... "Awak umur berapa?"
Gadis: 18 tahun. 
Gadis itu jujur menjawab soalan, sehinggakan dia sendiri meminta ibu saya mendoakan usahanya itu terus istiwamah.
Akhirnya, kami tidak memberi gadis itu duit untuk pusat tahfiz, tapi kami berikan padanya kerana tidak sanggup melihat dia bersusah payah datang ke setiap meja semata-mata untuk dana pusat tahfiz di Kedah.

Berapa banyak kali kita nak kena tipu ntah



Entah signature sape ntah dia ambil. Nama pun takde.



Kisah peminta sedekah:
Ini lagi pasal minta sedekah. Saya terus terang tak suka adegan meminta sedekah yang berlaku dalam negara kita ni. Seriously saya tak suka. Sakit mata. Melihat kerenah peminta sedekah membuatkan saya meluat. Bukan nak cakap apa. Kalau ada kelainan upaya, mereka bukan tak boleh bekerja, malah mereka pun ada didaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ada yang buta diteman oleh pasangan datang dengan menjual tisu. Nak mengabui mata si pemberi sedekah dengan cara 'membeli' tisu dengan bayaran RM1.00. Walaupun RM1.00 tu nampak kecil. Tapi kalau dikira sepanjang laluan di kedai makan / restoren mereka dapat paling sikit 10 orang. 10 kali lalu, dah berapa? Bayangkan kita sendiri yang bekerja, pun tak dapat gaji sebanyak itu. Gaji sendiri pun tak memadai.

Ada juga yang menjual kerepek, alasannya nak bantu ibu yang berada di kampung. Tapi kalau orang tak nak beli, memaksa. Merungut. Cakap belakang bila orang tak beli. Hak kita nak beli dan tak. Janganlah nak paksa orang. Minggu depan muka yang sama. Kali ni bawa pulak resit entah dari mana, katanya minta derma anak yatim. Insiden yang sama. (Kes menipu)

Pernah dalam satu masa ada 5 orang peminta sedekah lalu lalang di restoren yang sama. Apa nak jadi? Semuanya sihat. Ada yang pakai baju kemas lagi. Apa nak jadi dengan manusia hari ini??
PEMALAS. Itulah hakikatnya. Sanggup menjadi HINA untuk meraih simpati asalkan dapat apa yang diimpikan.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------





Kejadian dan insiden yang pernah berlaku depan mata menjadikan saya sangat pesimis terhadap peminta sedekah dan peminta derma.


Awak semua perlu tahu, kebanyakan rumah anak yatim dapat bantuan daripada badan-badan tertentu dan jabatan kebajikan masyarakat. Kalau nak menderma, pergi saja ke rumah anak-anak yatim tu. Kalau nak tau, ada sesetengah rumah anak yatim yang tak habis makan beras. Sampaikan mereka cuma minta di beri pekhidmatan tusyen / pendidikan untuk membantu anak-anak yatim di sana.

Kita lihat kes gadis-gadis yang mengutip derma untuk di Kedah itu adalah satu senario yang saya rasa sangat-sangat lah menyayat hati. Anda tak boleh ke bayangkan anak anda sendiri melakukan kerja-kerja "sukarelawan" itu? Anda tak terfikir ke makan pakai anda gadis itu? Anda tak fikir kah tentang keselamatan gadis itu? Dengan masa yang diberi sepanjang hari untuk mencari dana pusat tahfiz. Apakah yang pusat tahfiz beri kepadanya?? Sepatutnya anak itu belajar di kolej-kolej atau institusi tertentu untuk lebih berjaya. Ini bukan masanya untuk dia menjadi sukarelawan. Menjadi sukarelawan bukan dengan cara begitu. Saya tak faham, siapakah "guru" yang sanggup memanipulasikan ayat-ayat sehinggakan anak-anak gadis itu redha akan apa yang dikerjakannya itu. Fikirannya sudah disemai untuk menjadi "sukarelawan" yang tidak diiktiraf. Saya teramat kesal dengan tindakan "guru" yang menyemai benih pemikiran kepada anak-anak gadis seperti itu.

Saya tak dapat bayangkan kes peminta sedekah tu.... Terlalu mudah bagi mereka menjatuhkan maruah sendiri semata-mata untuk duit. Mungkin kerajaan kita turut bersalah. Saya tak nafikan. Fikirlah sendiri.

Bagi saya kalau nak menderma, biarlah kena pada tempatnya. Menderma sambil beramal boleh terus disalurkan ke masjid, ke surau, kepada anak-anak jiran yang sedia kita tahu mereka susah daripada memberi derma / sedekah kepada orang tengah yang entah betul atau tidak.

Saya hanya akan beri derma / sedekah..... Ini satu kes. Seorang yang benar-benar lapar atau haus dan perlukan perlindungan. Bagi saya inilah manusia yang benar-benar perlu dibantu. Pernah suatu hari kami makan di sebuah restoren. Masa tu kami dah nak beransur pulang, datang seorang lelaki belasan tahun yang bukan datang meminta derma, tetapi dia hanya meminta untuk minum. Katanya dia haus. Jadi, kami pun benarkan pihak restoren untuk memberinya menu. Kami mempelawanya untuk pesan makanan. Tetapi dia menggeleng. Dia hanya inginkan air. Kami memesan air untuknya. Walaupun begitu, pihak restoren seperti tidak mahu menunaikan pesanan budak itu. Suami saya segera menengking pihak restoren. Orang seperti itulah perlu diberi pertolongan.

Saya minta maaf lah kalau pandangan saya menyakitkan hati sesiapa.  Bukan tak boleh nak menderma, tapi tengoklah daripada siapa peminta derma dan sedekah tu. Berfikirlah sebelum menderma dan memberi sedekah. Orang yang benar-benar layak diberi sedekah adalah orang yang kita tidak tahu kewujudannya sebagai orang yang susah. Mungkin dia di hujung kampung. Tapi dia tak pernah minta pada kita (itulah orang yang susah, walaupun susah ada harga diri).

Itu belum kes sindiket... Berwaspadalah kita sebagai manusia yang Allah bagi akal.



Harakahdaily: Khutbah larang sedekah, derma

Dicoret oleh; Nurain Shukree at 10:16 am 0 komen dari pembaca
Subky Latif, 12 Mac 2012

GARA-gara peminta sedekah yang disendiket memperdagang orang kurang upaya, kanak-kanak dan wanita tua terutama muslimat negara-negara Asia Selatan dan NGO yang kononnya membela orang malang dan tidak bernasib baik, maka JAWI mengeluarkan khutbah Jumaat khusus tentangnya.


Ia mengecam kepincanngan sosial itu dengan segala alasannya. Betapa kejadian yang memalukan itu antaranya adalah dorongan sifat pemurah rakyat jelata yang mudah belas terhadap orang-orang yang tidak bernasib baik seperti miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya, anak yatim dan sebagainya.

Dengan rezeki yang lebih sekalian yang pemurah itu ringan tangan untuk menghulurkan sedekah dan derma kepada orang-orang yang dirasakan memerlukannya.

Sikap dan sifat pemurah itu mulia, tetapi memberi tanpa sebarang curiga boleh dan telah menyuburkan penyakit sosial yang memalukan dan seolah-olah menggalakkan kejadian hina di kalangan manusia.

Adalah keji bagi sendiket yang memperalatkan orang-orang susah dan malang itu untuk mengemiskan dan menyerahkan pungutan mereka kepada sendiket. Pengemis hanya diberi upah mengikut pungutannya tetapi yang mengaut keuntungannya ialah sendiket.

Meski pun ada pengemis bebas yang mendapat pungutan lumayan untuk dirinya, meneruskan perbuatan hina itu disebabkan ia satu cara yang senang mendapat kehidupan mewah, tetapi ada juga orang-orang malang itu dijadikan hamba dengan upah yang ala kadar dan terus kekal sebagai hamba yang diperas selama-lamanya.

Semua tahu bahawa mengemis ada hila dan menipu atas nama golongan susah adalah perbuatan yang terkutuk.

Khutbah Jumaat yang dibaca oleh semua khatib di Wilayah Persekutuan itu dibuat untuk memerangi penyakit sosial itu dengan harapan sekalian umat Islam menjadi pihak di depan dalam jihad membasmi amalan meminta-minta itu.

Kesimpulan dari roh khutbah itu mahu orang Islam berhenti memberi derma dan sedekah. Menanam rasa benci kepada semua bentuk pengemis tidak kira mereka benar-benar susah atau pura-pura susah. Tiada had masa untuk tidak bersedekah dan bersedekah seolah-oleh salah dalam keadaan apa pun.

Saya teringat pada pendirian Dr. Mahathir semasa masih Perdana Menteri terhadap tuding pentadbiran Bush kepada keganasan Islam. Mahathir tidak mahu sekadar menyalahkan keganasan Islam itu saja tetapi yang utama hendaklah dikaji punca keganasan.

Jika teori Dr. Mahathir itu dapat dipakai, perang terhadap punca pengemisan itu adalah lebih aula dari perng terhadap pengemis dan sendiketnya. Apa mulanya penyakit sosial itu?

Mengapa di bawah Khaifah Umar Abdul Aziz tiada orang mahu menerima zakat? Zakat adalah hak untuk asnafnya. Asnaf itu seolah-olah sifar di zamannya. Ia adalah disebabkan keadilan sempurna pentabirannya, bukan saja kemiskinan terhapus, bahkan menolak menjadi orang yang meminta. Keadilan yanag wujud menyebabkan pemerintahan dan rakyatnya mendapat barakah. Itulah yang menjadikan ia sifar penerima zakat dan peminta sedekah.

Saidina Umar Abdul Aziz memadamkan lampu kerajaan apabila anaknya mahu bercakap masalah peribadi dengannya. Beliau tidak menggunakan langsung kemudahan kerajaan.

Adakah kerajaan sudah mengkaji punca penyakit sosial itu dan kerajaan tidak langsung menyalah gunakan amanah yang diberi kepadanya? Adakah Raja-Raja, Perdana Menteri, menteri-menteri dan pegawai awam bebas dari menggunakan kedudukan masing-masing untuk diri?

Jika kerajaan belum jadi pihak yang paling minima kesilapannya, maka jangan jadi ayam jantan mengecam pengemisan.

Khutbah boleh mengingatkan supaya umat Islam waspada terhadap kejadian mengemis, tetapi orang Islam tidak boleh mengikis rasa mulia berderma dan bersedekah. Tanda syukur terhadap anugerah Allah ia menjadi bermurah hati kepada yang susah dan yang mememerlukan.

Saya takut semangat khutbah anti sedekah dan derma itu, umat Islam akan lupa mulianya menjadi tangan yang memberi. Bagaimana yang datang minta sedekah itu malaikat?

Orang Islam tdak boleh berhenti memberi kerana orang yang memerlukan itu sentiasa ada walau pun pengemis ada. Bukan tugas orang Islam bertanya pengemis itu jujur atau tidak. Tugas orang Islam yang berada adalah memberi.

Membasmi pengemis adalah tugas khalifah. Khalifah mesti mendidik rakyat jangan mengemis. Jika sesudah diberi pendidikan rakyat mengemis juga, khalifah kena tanya apa lagi kelemahannya dasar memerangi pengemisan itu tidak berjaya.

Kalau Umar Abdul Aziz berjaya, mengapa khalifah di Malaysia tidak berjaya?
 

Shain Blog Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea