Pages

Come and be with me

20150722

9 Kesalahan Suami

Dicoret oleh; Nurain Shukree at 10:53 am

Copy paste from Majalah I

9 kesalahan yang sering dipandang remeh...


1.Tidak mengajar agama dan hukum syariat kepada Isteri.

Betapa sukarnya  untuk menemui seorang isteri yang benar-benar solehah. Malah, ia menjadi satu cabaran besar bagi seorang lelaki untuk mencari dan membentuk pasangan menjadi  seorang isteri yang mempunyai sifat yang terpuji dan kriteria pegangan agama yang kuat.

Justeru tidak hairanlah, jika ada di antara isteri masih tidak tahu bagaimanakah untuk menunaikan solat dengan betul, hukum haid dan nifas, melayan suami dan mendidik anak mengikut Islam.  

Padahal, Allah SWT telah berfirman,

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” (Surah At Tahrim: 6)

Maka sudah sewajarnya seorang suami itu tidak mengabaikan hal ini, kerana mereka akan diminta untuk dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Tip didik isteri....


Hadiahkan buku-buku agama dan lakukan perbincangan bersama.
Menghadiahkan cd atau video ceramah, dan meminta isteri untuk membuat kesimpulan.
Membawa isteri ke majlis-majlis ilmu.
Dorong isteri mendekati Muslimah yang tinggi ilmu agamanya.
Membina perpustakaan mini di rumah. 
Lakukan solat berjemaah dan tadabbur al-Quran bersama

 

2. Mencari-cari kekurangan dan kesalahan isteri.

Barang siapa mencari aib saudaranya sendiri, Allah juga akan mencari aibnya.  

Maka, hendaklah seorang suami itu bersabar dan menahan diri dari kekurangan yang ada pada isterinya, sepertimana sabda Rasulullah s.a.w

Bersikap baiklah kepada para isteri. Kerana mereka tercipta dari tulang rusuk. Dan tulang rusuk yang paling bengkok adalah bahagian atas. Jika kamu hendak meluruskannya nescaya kamu akan mematahkannya. Dan jika kamu biarkan maka dia akan tetap bengkok. Maka bersikap baiklah kepada para isteri.” (Muttafaqun’alaih)

Dan ingatlah sabda Rasulullah s.a.w “Janganlah seorang suami yang beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak darinya, dia pasti meredhai akhlaknya yang lain.”(Riwayat Muslim)

 

3. Hukuman tidak sesuai kesalahan.

Ia termasuk di dalam bentuk kezaliman terhadap isteri. Di antara bentuk hukuman yang zalim itu adalah:

- Menggunakan pukulan di tahap awal pemberian hukuman. Padahal Allah SWT telah berfirman,“Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuz-nya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka dan pukullah mereka.”( An Nisa’:34)

- Mengusir isteri dari rumah tanpa ada sebab secara syar’i. Allah SWT berfirman yang ertinya:  “Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka dan janganlah mereka (diizinkan) ke luar kecuali mereka mengerjakan perbuatan keji yang terang .” (Ath Thalaq:1)

- Memukul wajah, mencela dan menghina. Ada seseorang yang datang bertanya kepada Rasulullah, apakah hak isteri ke atas suaminya?
Baginda menjawab, 
Dia (suami) memberinya makan jika dia makan, memberinya pakaian jika dia berpakaian, tidak memukul wajah, tidak memburuk-burukkan dan tidak memboikot kecuali di dalam rumah.” (Riwayat Ibnu Majah, disahihkan oleh Al Albani)

 

4. Kedekut memberi nafkah.

Sesungguhnya kewajiban suami adalah memberi nafkah kepada isteri, sepertimana yang ditetapkan di dalam al-Quran yang bermaksud.

Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara maaruf.”  Al-Baqarah:233

Isteri berhak mendapat nafkah, kerana dia telah menjadi halal untuk disenangi,  dia telah mentaati suaminya, tinggal di rumahnya, mengatur rumahnya, mengasuh dan mendidik anak-anaknya.

 

5. Sikap keras, kasar, dan berlembutlah.

Rasulullah s.a.w telah bersabda:  “Mukmin yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isteri-isterinya.” (Riwayat Tirmidzi, disahihkan al Albani)

Maka hendaknya seorang suami itu berakhlak baik terhadap isterinya, dengan bersikap lembut, dan menjauhi sikap kasar. Di antara bentuk sikap lembut seorang suami itu adalah, bergurau senda, menyuapkannya makan dan memanggilnya dengan panggilan yang mesra.

6. Kesombongan suami membantu isteri.

Ini adalah satu kesalahan yang sering kali dilakukan oleh para suami yang beranggapan diri mereka adalah pemimpin dan wajar ditaati. Bahkan ada di antaranya beranggapan, tugas mereka hanya mencari duit, sementara tanggungjawab di rumah hanya dipikul oleh isteri seorang.

Padahal, Rasulullah s.a.w tidak segan-silu membantu isterinya Aishah di rumah. Seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari: “Baginda membantu pekerjaan isterinya. Dan jika datang waktu solat, maka baginda pun keluar untuk solat.” (Riwayat Bukhari)

7. Terburu-buru menceraikan isteri

Wahai suami yang mulia, sesungguhnya hubungan antara engkau dan isterimu adalah hubungan yang kuat lagi suci.  Usahlah menceraikan isterimu tanpa sebab. Sesungguhnya talak itu adalah pedang yang dihunuskan ke leher isterimu. Nasihati dan cubalah untuk berdamai.

 

8. Berpoligami mengikut nafsu

Allah SWT telah berfirman,
Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja.”  An Nisa: 3

Anda boleh bernikah lagi tetapi, seandainya  anda tidak mampu untuk berlaku adil, lupakan niat itu demi kebahagiaan isteri dan anak-anak.

 
9. Remehkan aurat isteri.

Inilah antara penyakit yang semakin tersebar di kalangan kaum Muslimin. Mereka membiarkan keindahan dan kecantikan isteri dinikmati oleh orang lain. Serta membiarkan isterinya bergaul dengan mana-mana lelaki dan menampakkan auratnya  ketika keluar dari rumah. Malah, lebih membimbangkan, para suami turut berasa bangga apabila isterinya tampak cantik dan sering dipuji oleh orang ramai.

Majalah i / 2012

0 komen dari pembaca:

 

Shain Blog Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea